Wednesday, November 2, 2016

Kek Kacang Tanah

Dulu masa remaja dan masih bujang suka sangat makan kek yang diselaputi krim. Rasa puas dapat makan kek 'mewah' macam tu. Masa praktikal dulu setiap bulan makan kek sampai satu tahap tengok kek pun dah tak mahu kecuali kek yang jarang-jarang di dapati.

Tapi bila usia semakin meningkat, selera pun semakin berubah. Semakin hari semakin menghargai sesuatu yang ringkas dan klasik. Tak pandang lagi pada kemewahan dan ‘prestige’ luaran sesuatu makanan. Tetapi lebih kepada ‘rasa’ dan ‘memori’ yang ada pada makanan tu. Betulla orang kata, pengalaman mematangkan dan pengalaman adalah guru yang paling berharga.

Kek kacang ni pernah makan masa raya puasa lebih sedekad lepas. Sedap sangat. Entah siapa yang bawa pulang ke rumah embah pun tak tahu. Tapi selepas itu, tahun-tahun berikutnya tak pernah lagi jumpa kek kacang di dapur embah…kecewa rasanya. Sekarang embah pun dah tak ada. Tiada lagi anak cucu berkumpul serentak bermalam di rumah embah macam dulu. Suatu hari teringat nak cari di google. Mana tahu kalau ada yang bermurah hati menulis. Rupa-rupanya ada…ramai yang sudah cuba. Jadi aku sengaja tengok resepi daripada kak Dayang Jack. Hmm.. ringkas saja caranya. Boleh la cuba.

Kek Kacang Tanah

olahan semula: Azimah

bahan-bahan : loyang 22-23 cm
  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 1/2 cawan kacang tanah (yang sudah digoreng/panggang dan dikisar)
  • 1 sudu kecil serbuk penaik
  • 1/2 sudu kecil soda bikarbonat
  • 5 biji telur Gred B – guna 4 biji telur saiz L
  • 1/2 cawan susu segar (boleh tambah jika perlu) – saya guna susu tepung yg dibancuh
  • 200 g mentega 
  • 1  1/4 cawan brown sugar  (DJ guna 1 cawan brown sugar + 1/4 castor sugar) 
  • 2 sudu kecil esen vanilla
Cara-cara :
  1. Panaskan oven pada suhu 170-180C. Lengserkan loyang kek dengan mentega. 
  2. Ayakkan tepung bersama serbuk penaik dan soda bikarbonat di dalam satu bekas. Kemudian, masukkan kacang tanah kisar dan kacau rata-rata. Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk pengadun, putar mentega bersama gula hingga kembang. (HIGH SPEED)
  4. Masukkan telur satu demi satu sambil diputar perlahan. 
  5. Masukkan esen vanilla dan putar lagi hingga sebati.
  6. Tuangkan susu segar sedikit demi sedikit sambil diselang-selikan dengan tepung. Kacau sebati dan perlahan-lahan dengan menggunakan senduk kayu atau spatula. (JANGAN DIPUTAR DENGAN MIXER)
  7. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakarlah selama 45 minit atau hingga masak keperangan.
  8. Setelah masak, sejukkan terlebih dahulu sebelum dipotong. 
Pertama kali buat, guna kacang yang ditumbuk. Agak kasar teksturnya. Semasa makan kek dapat rasa butiran kacang. Mungkin lain kali kalau buat lagi nak guna kacang yang dikisar halus pula. Kek kacang ni jika dipotong semasa panas agak berderai namun selepas disimpan dalam peti sejuk semalaman rasa kek lebih ‘set’ dan rasa lemak kacangnya lebih terasa.

Terima kasih kepada DayangJack kerana mengembalikan memori kek kacang di rumah arwah embah untuk kenangan saya.

No comments: