Monday, January 20, 2014

Anak


Sebelum ada anak sendiri dulu. Bila menatap status-status rakan fb yang happy bertiga dan akan bertiga selama hampir 2 tahun. Adakala aku rasa terganggu, namun aku masih bersyukur kerana masih berdua. Sehinggakan aku terfikir yang sebenarnya aku mahukan anak kerana mahu sama seperti mereka atau jujur dalam hati aku sudah bersedia menerima tanggungjawab baru dalam hidupku. Aku faham..anak itu anugerah tuhan dan setiap anak ada rezeki yang telah dimaktubkan kepada mereka. Tak wajar untuk menolak. Bercakap dari sudut apabila belum dikurniakan anak, tak terfikirkah bahawa perancangan tuhan itu lebih baik daripada perancangan manusia? Haruskah pasangan yang belum dikurniakan anak bersedih hanya kerana hanya berdua melalui kehidupan rumah tangga?

Jujur, pernah juga aku rasa sedih dulu tapi aku ubati hati dengan mensyukuri apa yang ada dihadapanku. Pernah juga aku terfikir adakah Zz akan menduakan aku atau meninggalkan aku kerana kami masih belum dikurniakan anak. Tapi, aku juga berfikir bahawa ada juga pasangan yang masih setia walaupun tidak dikurniakan anak selama berpuluh tahun lamanya dan ada juga yang menduakan walau isterinya telah berkali menghadapi kesakitan bersalin. Semuanya terpulang kepada diri sendiri. 

Untuk mengelakkan emosi aku tercalar dengan kata-kata aku suka berfikir mengenai perkara yang disukai. Pendek kata, pantang berlebihan wang(selepas ditolak belanja bulanan dan simpanan) aku habiskan dengan membeli belah, rancang percutian, cuba menu baru dan macam-macam lagi walaupun adakalanya Zz tak begitu menuruti kemahuanku. Hingga kini, masih banyak lagi impian percutian ku yang masih belum tercapai.

Kadang-kadang, aku juga menerima pertanyaan sinis. Disebabkan aku jenis manusia yang tak suka mengaku kalah begitu saja aku takkan buat2 tak dengar pertanyaan diorang tu. Aku pasti dan suka untuk menjawab. Lagipun, yang peliknya pertanyaan pasal anak banyak ditujukan kepada sang isteri, tu yang buat aku tak puas hati. Tanyalah yang si suami jugak. Orang perempuan bukannya boleh buat anak sorang-sorang. Tapi aku tukarkan ia menjadi sesuatu yang lebih humor supaya tak kelihatan kurang ajar di mata mereka. Mungkin ada yang nak mencedok idea ini, tapi aku tak kisah kerana memahami perasaan mereka. Walaupun agak basi tapi ia jadilah untuk mengelakkan soalan atau bebelan mereka dari berpanjangan.
contoh,
  • Bila nak ada anak? – in process
  •   (yang kasar sikit terpulang pada intonasi yang digunakan) Ko ni bila pulak? – esok
  • (sambungan no. 2) Macam kau tahu esok kau dapat anak… - dah tahu yang saya tak tahu kenapa tanya saya?
  •   Anak dah ada? – kalau ada, tentu saya tengah pegang sekarang
Aku bersyukur dikurniakan anak selepas dua tahun berkahwin, sekurang-kurangnya aku pernah melalui fasa stress dengan soalan-soalan yang ku kira tak perlu untuk pasangan berkahwin.  Kami sempat merasai perasaan belum dikurniakan anak setelah beberapa ketika musim perkahwinan dan insyaallah akan berusaha menjaga lisan apabila bertemu dengan pasangan yang belum dikurniakan anak. Kami menikmati waktu berkualiti semasa berdua dulu dan kini kami juga senang dengan nikmat hidup bertiga. Waktu berdua dulu merupakan kenangan yang tak mungkin berulang kembali dan sekarang hanya tuhan yang tahu betapa bersyukurnya kami dengan kehadiran Darrien Rahman.

Jadi, yang masih berdua tu hargailah masa anda bersama pasangan dan yang akan menerima orang baru hargailah anugerah yang dikurniakan oleh-Nya. Jangan mengharap mempunyai anak hanya kerana rakan-rakan anda telah mempunyainya. Mungkin tuhan belum/tidak memberi kerana itu adalah lebih baik untuk anda tapi jika terlalu inginkan anak jangan pernah berhenti untuk berusaha.

No comments: